Wednesday, 2 March 2016

Tahun 1 dan garisan tepi...

Ada pengalaman tentang garisan di tepi buku petak matematik? Kebiasaannya buku tulis matematik tiada garisan tepi pada setiap halaman. Semasa darjah tiga, saya pernah berpindah dari SK Jalan Raja Muda(1) ,Kuala Lumpur ke SK Undang Jelebu, Kuala Klawang. Akibat tidak pernah ada pengalaman buat garisan tepi pada buku latihan, saya "lost & blur" pada hari pertama masuk ke kelas. Pertama kali juga saya mendengar perkataan "margin". Oh rupanya yang dimaksudkan ialah garisan tepi. Barulah saya belajar, buat garis tepi pada buku tulis terutamanya buku matematik.

Walaupun mungkin ada yang berfikir, apa gunanya ajar buat garisan tepi untuk murid Tahun 1. Tapi bagi saya, buat garis tepi dengan menggunakan pembaris adalah satu kemahiran psikomotor bagi murid. Dengan jari kanak-kanak yang masih lembut, maka inilah masa yang terbaik untuk mengasah kemahiran mereka membuat garis tepi yang lurus dengan menggunakan pembaris. Mudah? Sangat sukar bagi sesetengah murid yang masih kekok memegang pensel apatah lagi pembaris.

Ada juga murid yang tidak boleh membuat garisan tepat di atas garisan biru sedia ada di dalam buku tulis. Pada mata kasar, kita sememangnya rasa itu perkara yang sepatutnya mudah dilakukan. Tetapi mengapa ada murid yang tidak boleh melukis secara tepat lurus di atas garis sedia ada? Solusinya, latihan setiap hari saja yang boleh bantu anak murid untuk mahir sesuatu kemahiran. Masa? Sudah tentu kali pertama akan ambil masa yang agak lama untuk mengajar mereka menggunakan pembaris. Bagi yang sudah cekap, teruskan bagi galakan untuk buat yang terbaik, tetapi bagi yang masih lagi teragak-agak teruskan juga bagi galakan dengan mencontohi rakan-rakan lain yang sudah pandai menggaris.

Apakah pula yang akan cikgu buat jika murid tiada pembaris? 
That is another issue. :')

No comments:

Post a Comment