Tuesday, 28 June 2016

Tahun 1 dan Bulan dalam Setahun

Topik Masa dan Waktu merupakan satu tajuk yang agak menarik untuk diajar.Bagaimana mengingat turutan bulan dalam setahun?Murid boleh menyanyikan mengikut lagu yang menarik.
Selain itu,cara untuk aplikasi topik ini adalah dengan aktiviti "Bila tarikh lahir saya?"
Contoh latihan murid

Melalui aktiviti ini,murid dapat berkomunikasi antara satu sama lain bagi mendapatkan maklumat tarikh lahir rakan mereka.

Menarik bukan?Ramai murid Tahun 1 yang tidak mengetahui tarikh lahir sendiri.Aktiviti ini dapat mencetus rasa ingin tahu dan mereka boleh bertanya kepada ibu bapa masing-masing. Bagi murid kelas Linus,aktiviti ini boleh dibuat di rumah bersama ibu bapa mereka.

Tuesday, 21 June 2016

Tahun 1 dan Koordinasi Jari

Satu perkara yang sangat menarik untuk diperhatikan ialah kemahiran murid Tahun 1 menggunakan jari jemari mereka untuk membilang. 

Jari adalah kurniaan Allah yang sentiasa berada dengan kita sepanjang masa.Pelbagai perkara yang boleh kita pelajari dengan hanya memerhatikan jari jemari tangan ini. Dengan jari,semua manusia mempunyai identiti yang unik kerana adanya cap jari.Betapa pentingnya ruas-ruas pada setiap jari yang membolehkan kita untuk membengkokkan jari.Dari aspek matematik,betapa Allah Maha Bijaksana menjadikan bilangan jari adalah sepuluh.Bilangan jari ini sememangnya sudah cukup untuk digunakan dalam pengiraan terutamanya bagi murid Tahun 1 yang baru mula untuk belajar mengira. Saya kurang bersetuju dengan kaedah lidi/palang yang murid guna untuk mengira.Bagi saya,kenapa kita tidak gunakan jari yang sudah begitu sempurna ciptaanNya dalam mengasah kemahiran membilang pada peringkat awal. Selain itu,dengan jari juga murid boleh mempelajari sifir tertentu.

Pokoknya,murid sepatutnya boleh menggunakan jari untuk membilang disamping menyebut angka dengan betul. Ini adalah kerana,ada segelintir murid yang sangat kaku apabila diminta membilang sambil menyebut bilangan jari secara berturutan. Ada yang tidak dapat mewakilkan bilangan jari dengan nombor yang guru sebutkan. Pada pandangan saya,perkara ini adalah asas kerana apabila murid mempelajari tambah,maka penggunaan jari juga memainkan peranan penting pada peringkat awal.

Oleh itu,latih latihkan jari jemari murid Tahun 1 anda!

Monday, 20 June 2016

Tahun 1 dan iThink

Pernah gunakan peta pemikiran iThink dalam pengajaran anda?Salah satu topik yang sesuai diselitkan dengan peta iThink ialah topik wang.
Menarik bukan?
Tajuk: Wang
Hasil pembelajaran:
Murid berupaya menyenaraikan beberapa gabungan wang syiling dengan nilai yang sama dengan harga barang
Nama aktiviti:Berapa cara saya boleh bayar?
Nama peta:Peta buih
Bahan bantu:Kertas sebak,gambarajah wang syiling yang diletakkan dalam sekeping kertas A4,gam dan gunting

Langkah pengajaran:
1.Murid secara berkumpulan diberikan kertas sebak dan kertas yang mengandungi gambarajah syiling 5sen,10sen,20sen dan 50sen
2.Nyatakan objektif yang ingin dicapai,iaitu dalam aktiviti ini,"Berapa cara anda boleh bayar untuk sekeping karipap yang berharga 80sen"
*Buatkan tajuk tersebut dalam bentuk peta buih dengan cara yang mudah,ringkas dan menarik.
*Nilai wang boleh diubah berdasarkan tahap murid.Bagi murid LINUS nilai boleh dikecilkan.
3.Bilangan kaedah/cara adalah bergantung kepada tahap kreativiti dan kefahaman murid dalam memahami nilai wang syiling.
4.Bimbing murid untuk memaparkan hasil kerja mereka dan buat sedikit penerangan/pembentangan.
*Mungkin hasil pembentangan tidak seperti yang diharapkan,tetapi impaknya murid dapat gambaran bahawa setiap aktiviti yang dilakukan akan disusuli dengan sedikit sesi penceritaan tentang hasil kerja mereka.
Hasil terbaik

Tahun 1 dan nombor bulat

Ada pengalaman mengajar nombor bulat Tahun 1? Perlu ditekankan di sini,"Tahun 1".Memang kedengarannya senang,tetapi sangat mencabar.Mengenal nombor,mengenal nilai nombor,menulis nombor,menyebut nombor,menyebut nombor dalam turutan merupakan beberapa kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid Tahun 1. Ditambah pula dengan kepelbagaian murid Tahun 1,yang mungkin murid yang cerdik,sederhana dan lemah.

Siapkan minda untuk menghadapi situasi dimana guru merasakan apa yang diajar mudah,tetapi hakikatnya adalah sukar bagi anak murid kita.Oleh itu,sediakan dan siapkan pelbagai bahan bantu mengajar biarpun ringkas tetapi memberi impak tinggi terhadap pembelajaran murid.

Friday, 4 March 2016

Abakus dan Tahun 1


Memang betul apa yang dipanggil sebagai LADAP(Latihan dalam perkhidmatan), atau kini dikenali sebagai Latihan Personal itu penting dalam pembangunan profesion keguruan. Saya pernah menghadiri LADAP Abakus semasa berkhidmat di SK Seri Tasik 6 tahun yang lalu dan rupanya pengalaman itu berguna kerana kini saya mengajar murid Tahun 1.

Mengajar murid mengenali dan menggunakan abakus buat pertama kali memerlukan kesabaran yang tinggi. Pertama kali murid memegang abakus, sudah tentu alat itu adalah suatu permainan buat mereka.

Perkara utama, murid sudah mengetahui konsep nilai tempat kerana abakus mengaplikasikan konsep tersebut. Kedua, mengajar murid nilai setiap manik pada abakus dan cara menggerakkan manik tersebut supaya mewakili setiap nilai digit. Ketiga, memastikan murid fokus kepada 2 nilai tempat sahaja, iaitu fokus kepada dua tiang sahaja dalam abakus.

Hasil dapatan saya di dalam kelas, murid mengalami beberapa kesukaran semasa menggunakan abakus. 

  1. Mereka sering silap dalam mewakilkan nilai 5 pada abakus sama ada 5 atau 50.
  2. Murid boleh menunjukkan nilai 1 hingga 9 pada tempat sa, dan 10 hingga 90 pada tempat puluh. Tetapi tidak dapat menunjukkan nilai 11, 12 dan sebagainya.
Saya merasakan bahawa salah satu puncanya ialah murid tidak dapat memfokuskan pandangan mereka bahawa tiang mewakili nilai tempat. Mereka tidak dapat membuat hubungkait bahawa setiap digit dalam nombor mewakili bilangan manik pada abakus. Contohnya, 25. Murid perlu menggerakkan 2 manik pada tiang puluh dan  manik 5 pada tempat sa.

Sesi pembelajaran yang berikutnya tentang abakus perlu dijalankan lagi supaya murid yang belum lagi dapat kemahiran asas abakus memperbaiki pemahaman sedia ada.

Sebagai rujukan asas untuk pengenalan abakus, boleh layari http://www.slideshare.net/norhayatirahmat/mari-belajar-abakus


Wednesday, 2 March 2016

Tahun 1 dan garisan tepi...

Ada pengalaman tentang garisan di tepi buku petak matematik? Kebiasaannya buku tulis matematik tiada garisan tepi pada setiap halaman. Semasa darjah tiga, saya pernah berpindah dari SK Jalan Raja Muda(1) ,Kuala Lumpur ke SK Undang Jelebu, Kuala Klawang. Akibat tidak pernah ada pengalaman buat garisan tepi pada buku latihan, saya "lost & blur" pada hari pertama masuk ke kelas. Pertama kali juga saya mendengar perkataan "margin". Oh rupanya yang dimaksudkan ialah garisan tepi. Barulah saya belajar, buat garis tepi pada buku tulis terutamanya buku matematik.

Walaupun mungkin ada yang berfikir, apa gunanya ajar buat garisan tepi untuk murid Tahun 1. Tapi bagi saya, buat garis tepi dengan menggunakan pembaris adalah satu kemahiran psikomotor bagi murid. Dengan jari kanak-kanak yang masih lembut, maka inilah masa yang terbaik untuk mengasah kemahiran mereka membuat garis tepi yang lurus dengan menggunakan pembaris. Mudah? Sangat sukar bagi sesetengah murid yang masih kekok memegang pensel apatah lagi pembaris.

Ada juga murid yang tidak boleh membuat garisan tepat di atas garisan biru sedia ada di dalam buku tulis. Pada mata kasar, kita sememangnya rasa itu perkara yang sepatutnya mudah dilakukan. Tetapi mengapa ada murid yang tidak boleh melukis secara tepat lurus di atas garis sedia ada? Solusinya, latihan setiap hari saja yang boleh bantu anak murid untuk mahir sesuatu kemahiran. Masa? Sudah tentu kali pertama akan ambil masa yang agak lama untuk mengajar mereka menggunakan pembaris. Bagi yang sudah cekap, teruskan bagi galakan untuk buat yang terbaik, tetapi bagi yang masih lagi teragak-agak teruskan juga bagi galakan dengan mencontohi rakan-rakan lain yang sudah pandai menggaris.

Apakah pula yang akan cikgu buat jika murid tiada pembaris? 
That is another issue. :')

Tuesday, 1 March 2016

A new beginning...

My first post. I am just so excited to start a blog and i think i should write a "muqaddimah" eh?

Maybe it's just time for me to start recollecting what I have been doing in my life so far. The focus, most probably on my teaching experience and maybe things that i love to do. At this moment, keeping information on paper is not really the most convenient way anymore. So I just want to keep up with the time and start keeping that i think would be valuable and precious for me online. Instead of me, that can look back of what i've been experiencing, maybe some other people might get some thing that benefitting.

There's nothing to boast about, I am just a humble mathematics teacher in a primary school and really looking forward to keep on learning in life and improving myself positively. Insya Allah.